Festival Antarabangsa Petaling Jaya 2013

Assalammualaikum...

Print Screen email semalam - Semua dijemput hadir ok... 

Banyak aktiviti yang macam best jer... So, moh le maghi gheghamey (Intonasi hantu Kak Limah)- Sori gambo tak clear
 
Orang ramai khususnya warga Selangor dan Kuala Lumpur dijemput untuk memeriahkan sambutan Festival Antarabangsa Petaling Jaya 2013 selama dua hari bermula 21 Disember ini.
 
Ini merupakan kali pertama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menganjurkan festival seumpama itu dan sebanyak 30 acara menarik akan diadakan sepanjang berlangsungnya acara tersebut yang bertemakan Gaya Hidup Lestari. Kehidupan Hijau.
 
Festival itu dijadualkan turut disertai oleh pelbagai pihak termasuk yang dibawa khas dari luar negara. Datuk Bandar, Datin Paduka Alinah Ahmad berkata, orang ramai berpeluang untuk menyaksi dan menyertai pelbagai acara menarik yang disediakan bagi mempromosikan dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai amalan gaya hidup yang lebih sihat dan mesra alam.
 
"Dari slot pameran sahaja, iaitu untuk segmen Eko Mobiliti kami akan mempamerkan pelbagai jenis kenderaan teknologi eko seperti hibrid, solar dan elektrik, termasuk dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) yang akan mempamerkan kereta ranjer yang menggunakan teknologi dari Jepun dan Jerman dan bas solar dari Universiti Sains Malaysia (USM).
 
"Di samping itu pameran pelbagai jenis basikal dari pelbagai negara sama ada bersifat klasik dan futuristik termasuk rekaan dari MBPJ sendiri iaitu basikal Ambike (basikal teksi) yang membolehkan lapan orang menaiki dan mengayuh basikal tersebut," katanya.
 
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas gimik prapelancaran festival itu di ibu pejabat di MBPJ di sini, hari ini. Alinah berkata, malam perasmian festival akan dimeriahkan dengan perarakan besar yang melibatkan penyertaan pelbagai pihak yang diikuti dengan persembahan artis Ikon Hijau, Zainal Abidin.
 
"Kami ada acara tayangan filem (Eco Knight), demonstrasi makanan sihat, persembahan line dance, taici, lukisan grafiti, klinik hijau, muzik jalanan, persembahan akrobatik basikal BMX, senamrobik hijau, fun ride, dam aji gergasi dan pemeriksaan kesihatan," katanya. Selain itu, menurut beliau, acara lain ialah pelbagai jenis pertandingan termasuk perlumbaan basikal bukit Getaway PJ 2013, bike hunt, bola jaring, futsal, memanjat dinding, papan selaju, aksi lagak ngeri basikal BMX dan mewarna.
 
Sehubungan itu beliau berharap ibu bapa membawa anak-anak mereka ke festival itu sebagai aktiviti cuti persekolahan yang sangat berfaedah untuk seisi keluarga.
"Paling menarik juga, penduduk Petaling yang membayar cukai taksiran mereka pada festival ini diadakan akan diberikan rebat sebanyak RM100," katanya.
 
Festival itu juga, katanya, akan menyediakan gerai jualan pelbagai jenis produk landskap, eko bazar, basikal dan aksesori, peralatan dan pakaian sukan, makanan dan minuman.
 
Maklumat lanjut dan borang pendaftaran penyertaan boleh diperoleh dari laman web www.mbpj.gov.my atau menghubungi talian 03-7956 3544.


© Utusan Melayu (M) Bhd
 
Ayat kat atas ni Mrs. Yan petik sebijik-sebijik dari Akhbar Utusan. Jadi tok warga Petaling Jaya dan jiran-jiran terdekat, moh le datang Sabtu dan Ahad ni ye... Mrs. Yan pun macam excited lak nak pegi... InsyaAllah kalau takde pape aral...
 
-Thanks for reading-

Comments

Popular Posts